PHD DALAM GENGGAMAN SELEPAS 11 TAHUN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Mei 2020 – Mengambil masa 11 tahun menghabiskan pengajian untuk mendapat gelaran Doktor Falsafah (PHD) bukan satu tempoh yang pendek, namun berbekalkan kecekalan hati dan usaha yang berterusan, semua itu digapai dengan cemerlang pada usia yang menginjak 57 tahun. 
 IMG 20200513 185508
 
Menyoroti kenangan lalu, figura cantik bernama Tan Beng Geok bertuah kerana cita-cita dan semangat beliau untuk menyambung pelajaran disokong sepenuhnya oleh suami tercinta, Tan Chong Boon. Anak kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang yang menyandang jawatan Penyelia Jururawat U44 di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) ini nyata terharu dengan pengorbanan suami dan anak-anak.
 
Menurut Beng Geok, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh sepanjang menyambung pengajian secara separuh masa di samping menggalas tugas hakiki sebagai jururawat yang menuntut kesabaran dan perlu bijak ketika berhadapan dengan pesakit. 
 
IMG 20200513 185458
 
“Saya menyambung pengajian di usia 44 tahun dengan mendaftar sebagai pelajar pada tahun 2007 untuk mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan dan seterusnya menyambung Ijazah Sarjana pada tahun 2010 sebelum meneruskan pengajian di peringkat Doktor Falsafah pada tahun 2014. 
 
“Saya hanya tidur empat (4) jam sehari bagi memastikan mempunyai masa yang cukup untuk belajar dan sering memotivasi diri sendiri agar tidak mudah putus asa dan sentiasa rajin membaca bahan-bahan ilmiah untuk mencapai kejayaan seperti yang saya miliki sekarang,” ujarnya ketika ditemubual di sini semalam. 
 
IMG 20200513 185521
 
Sempena Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2020 peringkat Hospital USM yang bertemakan ‘Nurses  A Voice To Lead, Nursing The World To Health' Beng Geok berharap agar generasi muda sekarang tidak menjadikan kerjaya jururawat sebagai alasan dan penghalang untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. 
 
“Pengurusan masa yang betul perlu dititik beratkan sepanjang menjadi pelajar di samping mengamalkan pemakanan yang sihat bagi memastikan badan sentiasa bertenaga untuk meneruskan tugas harian, menguruskan rumah tangga dan mengulangkaji pelajaran. 
 
“Kejayaan yang saya capai ini, saya jadikan dorongan dan inspirasi untuk anak-anak saya dan golongan muda yang lain turut sama berusaha dan memotivasikan diri mereka untuk terus belajar dan mencapai apa yang mereka impikan,” ujarnya lagi. 
 
IMG 20200513 185530
 
Beng Geok yang sudah 33 tahun bertugas sebagai Jururawat juga berkata, profesyen sebagai jururawat adalah antara kerjaya mulia yang memerlukan individu itu bukan hanya bekerja, malahan sanggup berkongsi segala kesakitan, kesusahan dan kesedihan bukan sahaja dengan pesakit, tetapi seluruh keluarga pesakit yang masing-masing mengharapkan sinar kesembuhan. 
 
“Berhadapan tugas menjaga pesakit selain melayan kerenah ahli keluarga antara dugaan yang paling mencabar perlu dihadapi oleh jururawat demi keselesaan golongan terbabit. 
 
“Bukan mudah berurusan dengan pesakit, adakalanya tindakan ahli keluarga pesakit lebih menyulitkan hingga mengganggu kelancaran tugas kami,” jelasnya. 
 
Namun, semua itu tidak pernah melunturkan semangat ibu kepada sepasang cahaya mata ini untuk memberikan perkhidmatan dan rawatan yang terbaik kepada pesakit Hospital USM. 
 
 
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Muhammad Amin Syafiq Sakri

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 20 September 2020.
Jumlah Pengunjung
1620100