USM DI HATI, PESARA TABUR BAKTI

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 April 2020 - Melihat kepada wabak COVID-19 yang sedang melanda, sana sini sumbangan pelbagai bentuk disalurkan tidak kira dari sektor kerajaan, swasta, syarikat-syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan sentiasa ada dan tidak pernah terhenti. Apatah lagi sumbangan kepada pasukan barisan hadapan khususnya petugas kesihatan yang memerlukan peralatan perlindungan diri (PPE) dalam melakukan tugas saringan dan merawat pesakit COVID-19. Banyak pihak mengambil inisiatif menjahit PPE untuk disumbangkan agar keselamatan pasukan petugas perubatan terjamin. 

IMG 20200409 081412

Mungkin bagi sesetengah orang, menjahit PPE sekadar sumbangan kecil sahaja, tetapi tidak bagi Zaini Mohd Nor, 59, dari Kampung Pulau Hilir, di sini. Beliau sentiasa mencari peluang untuk melunaskan hajat di hati, sehinggalah beliau mampu menarik nafas lega apabila Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) membuka pintu kepada sesiapa yang berminat sebagai sukarelawan untuk menyediakan PPE.

Mantan Ketua Unit, Unit Rekod Perubatan, Hospital USM yang bersara pilihan pada 1 Oktober 2018 itu tidak teragak-agak menghubungi urusetia projek inovasi PPE, Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi Hospital (UKJEH) Hospital USM dan menawarkan diri sebagai sukarelawan. Biarpun tidak lagi menjawat sebarang jawatan dan tiada kad staf digantung di leher seperti kebiasaan, bukan bermakna menutup peluang untuk terus menyumbang bakti. 

IMG 20200409 081431

“Saya terharu melihat kesungguhan semua pihak yang turun padang membantu, mengorbankan masa serta tenaga bersama-sama menghadapi krisis COVID-19,  daripada situ, saya terpanggil untuk turut serta biarpun hanya di belakang tabir.

"Ia cukup bermakna kepada saya apatah lagi hari ini saya melihat di hadapan saya ini, staf dan pelajar USM sangat komited membuat kerja masing-masing, ada yang memotong kain, menjahit dan sebagainya untuk menyiapkan set PPE bagi menampung keperluan di Hospital USM," jelasnya.

Zaini memulakan kerjaya sebagai Pegawai Rekod Perubatan, Hospital USM pada 1 Jun 1985 dan kini beliau kembali sebagai seorang pesara yang ingin menyumbang semula tenaga secara sukarela demi rasa tanggungjawab dan kebersamaan dalam menghadapi saat-saat sukar ini.

"Dengan kebolehan menjahit yang ada, saya merasa puas dapat menyediakan PPE untuk kegunaan para petugas perubatan mahupun petugas di makmal USM.

“Semasa masih menjadi kakitangan USM, saya pernah beberapa kali terlibat dengan krisis-krisis kesihatan serta penyakit yang melanda seperti Mers-CoV dan SARS, namun hanya di tahap epidemik tetapi wabak yang kategorikan sebagai pandemik ini agak berbeza bahayanya sehingga berpuluh-puluh ribu orang telah meninggal di seluruh dunia akibat kerakusan COVID-19.

"Kalau hendak diikutkan rasa takut, semua orang takut dengan musuh yang kita tidak nampak ini. Saya bertawakkal kepada Allah untuk menjaga saya dan mengharapkan diberi kesihatan yang berterusan agar dapat membantu menjahit PPE selagi khidmat saya diperlukan di sini," ujarnya lagi.

Tambah Zaini, apa yang penting perlu kita ingat ialah tidak ada jurang yang menjarakkan sama ada masih seorang pekerja mahupun pesara kerana kita pernah berada di bawah satu payung yang sama iaitu USM.

Teks:  Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto:  Abdul Hasib Abdul Rahman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Isnin 07 September 2020.
Jumlah Pengunjung
1620017